Kewujudan siaran dalam Bahasa Melayu di Radio Sabah sememangnya seiring dengan kewujudan siaran radio di negeri ini iaitu sejak awal tahun lima puluhan lagi. Ketika itu unit-unit yang mengendalikan siaran dalam pelbagai bahasa ini dikenali sebagai perkhidmatan 'The English Service' dan lain-lain. 'The Malay Service' atau perkhidmatan Melayu adalah unit yang menerbitkan dan menyiarkan rancangan-rancangan dalam Bahasa Melayu.
Selepas Sabah merdeka melalui pembentukan Malaysia pada tahun 1963, siaran radio terus berkembang pesat dengan pertambahan masa siaran dari pada 18 jam seminggu kepada 168 jam atau 24 jam sehari.
Sejak diwujudkan hingga sekarang perkhidmataan siaran dalam bahasa Melayu ini telah beberapa kali mengalami pertukaran nama. Bermula dengan Perkhidmatan Melayu bertukar kepada Rangkaian Nasional, kemudian bertukar lagi kepada Siaran Bahasa Malaysia. Sekarang ini berikutan penjenamaan semula, ia dikenali sebagai SABAH fm. Pemilihan nama baru itu adalah selari dengan perkhidmatan industri penyiaran bukan sahaja di peringkat nasional malah di peringkat global.