Ya uh.uh..! begitulah ungkapan yang sering didengar bila juruhebah Azrry keudara di SABAH fm. Tentunya peminat-peminat bola sepak di negeri Sabah pasti mengenali suaranya kerana sering terlibat dalam ulasan Bola Sepak apabila siaran langsung bola sepak, baik di stadium likas mahupun stadium-stadium tempat berlangsungnya perlawanan bola sepak di seluruh malaysia.

  Azrry atau nama sebenarnya Mohd Azzry Abdulah, lahir pada 23 Julai 1972 di hospital dan kini berusia 34 tahun. Beliau berasal dari Kampung Kemberian Menggatal, merupakan anak bongsu daripada 2 adik beradik. Mendapat pendidikan awal di SRJK St. Anne Labuan, SRJK Holly Trinity Tawau, SMJK Holly Trinity Tawau, SM Lok Yuk Likas seterusnya melanjutkan pelajaran ke Kolej Komuniti Kota Kinabalu.

  Mula bertugas di RTM Kota Kinabalu pada 1 Ogos 1996 sebagai penerbit rancangan, skop tugas beliau ialah bertugas di konti siaran SABAH fm, Pembaca Berita Radio,Pengulas Sukan, Pengacara Pentas, Pengacara & Pelapor TV, Penerbit Rancangan Hitz SABAH fm dan pernah terlibat dalam penerbitan rancangan-rancangan khas.

  Sebelum bertugas sebagai penerbit rancangan di RTM Kota Kinabalu, juruhebah Azrry pernah bekerja di bahagian pengiklanan dan pemasaran SABAH TIMES dan juga pernah bertugas sebagai Pembantu Penyelidik Morbiditi Kesihatan Pantai Barat Utara di bawah Jabatan Kesihatan Malaysia.

  Lebih 5 tahun bertugas di RTM Kota Kinabalu, beliau mendirikan rumahtangga pada 7 April 2001 dengan Jaliha Md. Yunus Khan merupakan seorang jururawat yang berasal dari Lahad Datu, hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan seorang puteri dan seorang putera iaitu Nur Aqilla Syahirah Mohd Azrry, 4 tahun dan Mohd. Aliff Aiman Mohd. Azrry, 3 tahun.

  Setelah lebih 10 tahun bertugas di RTM Kota Kinabalu beliau pernah di hantar ke Vietnam sebagai pelapor sukan Sea, disamping pelapor untuk sukan SUKMA di Pulau Pinang, Sabah, Negeri Sembilan dan baru-baru ini di Kedah dan juga bertugas sebagai pengulas bola sepak di seluruh negara.

  Beliau yang berketurunan sino-kadazan ini mempunyai minat yang amat mendalam dalam bidang sukan dan aktiviti-aktiviti lasak, sebab itulah beliau telah berjaya mendaki ke puncak Gunung Kinabalu sebanyak 8 kali, sehingga membawa kenangan manis kepada beliau apabila beliau dan DJ Ady memulakan siaran SABAH fm dari Laban Rata dalam program SABAH fm di Puncak Kinabalu pada 11 & 12 Februari 2006 yang sekaligus dicatat dalam Malaysia Book of Records.

  Namun pengalaman yang tak akan dilupakan ialah ketika bertugas sebagai Pelapor TV selama 3 jam di Puncak Gunung Kinabalu dengan suhu 3 darjah celsius dan tiupan angin 30-40 KM/jam semasa Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu TM ke-20 2006 baru-baru ini.